Monday 11 June 2012

Surat sahabat

Assalamu'alaikum,

Apa khabar sahabatku? Aku doakan moga kau dan keluarga dalam keadaan sihat dan bahagia. Lama sudah kita tak bersua muka kan? Alhamdulillah, dengan kecanggihan teknologi, boleh juga kita saling bertukar ilmu walaupun hanya dalam alam maya. Macam mana guru-guru mu di sana? Sebenarnya, kita yang patut pandai bawa diri kan? Cikgu dah buat yang terbaik untuk kita semua. Hari tu, kau ada emel aku tentang tekanan udara. Kalau dapat 'share' selalu lagi bagus. Taklah kita fikir belajar sains untuk 'exam' saja.

Aku pun nak kongsi sikit pasal sains ni. Kau tau tak, makanan yang kita makan sehari-hari ada asid dan alkali? Bahaya? Taklah...Memang biasa orang cakap asid saja,mesti rasa takut. Takut melecur...Sebab banyak sangat tengok tv yang menceritakan keburukan asid. Cuba tengok di berita, ada sindiket simbah asid lagi. Takpalah...nak buat macam mana. Cuma kita yang belajar sains ni taklah fikiran kita macam begitu.

Baiklah, aku nak cerita dulu pasal ciri asid dan alkali. Asid ni rasanya masam, kalau asid tu pekat sangat mengakis, nilai pH kurang daripada 7, bertindak balas dengan kebanyakan logam untuk menghasilkan gas hidrogen dan menukarkan kertas litmus biru lembap kepada merah. Alkali pula rasanya pahit dan licin seperti sabun, kalau alkali tu pekat boleh mengakis, nilai pH lebih daripada 7 dan menukarkan kertas litmus merah lembap kepada biru.

Nak cubakah? Cuba ambil cuka sama sabun. Cuka tu rasanya masam, sabun pula pahit dan licin. Jadi, cuka tu sejenis asid, sabun pula alkali. Taklah bahaya pun, malah sangat berguna. Kalau di sekolah, boleh minta cikgu tunjukkan asid hidroklorik pekat sama larutan natrium hidroksida pekat (alkali). Kedua-duanya boleh mengakis dengan mudah. Kami dulu guna kertas turas yang diletak atas jubin.

Nak tau lagi? Air sebenarnya yang membolehkan sesuatu asid atau alkali menunjukkan sifatnya. Tanpa air, asid atau alkali tulen yang kering tak dapat tunjuk sifatnya. Macam manusia juga...ada 'sesuatu' yang menunjukkan sifat lelaki atau perempuan. Barangkali, kau bolehlah tanya cikgu kau di sana.

Sekarang, aku nak bagi kongsi sikit bahan-bahan seharian yang berasid dan beralkali. Aku bagi sekali dengan pH nya.

Jus limau, 2.3
Jus lemon, 2.5
Cuka, 2.8
Minuman bergas, 3.0
Minuman soda, 4.2
Pisang, 4.6
Teh, 5.5
Susu lembu segar, 6.5
Air suling, 7.0
Putih telur, 7.4
Sabun mandi, 8.5
Ubat gigi, 9.2
Susu magnesia, 9.8
Detergen, 11.5

Apa macam? Best kan dapat tahu benda-benda macam ni? Dulu kita fikir asid ni bahaya. Rupanya hari-hari makan asid. Erm...baiklah. Panjang sudah ni. Jangan lupa balas ya. Kita kongsi-kongsi. Nanti ada masa, boleh kita jumpa lagi..InsyaAllah...

Saturday 9 June 2012

Besi terbang?

Mustahil? Ketika zaman unta dulu, basikal mungkin benda asing bagi mereka. Setelah adanya basikal, kereta pula jadi kemustahilan bagi manusia. Namun, sekarang andai kata mereka yang hidup di zaman yang tak pernah ada basikal atau kereta mungkin sangat terkejut kerana besi sudah boleh terbang. Malah, di dalamnya ada manusia. Bukan seorang manusia, malah ramai dan penuh dengan barang-barang. Perjalanan yang jauh jadi singkat. Pendek kata, kalau kita nak fikir lebih jauh lagi, Allah sering ingatkan kita akan ada satu saat nanti, dunia ini akan hancur, semua manusia akan dibangkitkan, amal dihitung, ada syurga ada neraka. Wajib kita yakini begitu dan memang begitulah kita yakini.

Hari ini, saya nak bincang sikit pasal aloi. Sifat aloi inilah yang menyebabkan kapal terbang boleh terbang. Aloi ialah sebatian yang terbentuk daripada campuran logam dengan unsur-unsur lain. Atom-atom asing mungkin terdiri daripada atom logam lain atau atom bukan logam seperti karbon. Proses percampuran atom asing ke dalam logam tulen secara peleburan disebut sebagai pengaloian. Pengaloian bertujuan untuk menambah kekuatan dan kekerasan logam, mencegah kakisan logam dan membaiki rupa logam supaya menjadi lebih menarik.

Aloi yang digunakan untuk membuat kapal terbang disebut duralumin. Duralumin terdiri daripada atom logam tulen iaitu aluminium 93% dan atom asing utama iaitu 3% kuprum, 3% magnesium dan 1% mangan. Sifat duralumin ini ialah kuat,ringan dan tahan kakisan.

Jumpa lagi!

Friday 8 June 2012

Ahli kimia bukan ahli sihir

Ahli sihir digambarkan dengan kuali dan rempah ratusnya untuk menghasilkan pelbagai bahan lain dalam sihirnya. Maka, ahli sihir itu dikagumi kerana berjaya memukau mata manusia dengan bahan-bahannya. Baiklah, di zaman moden ini, sepatutnya kita juga kagum kerana dengan percampuran bahan-bahan tertentu, ahli kimia telah menghasilkan pelbagai bentuk bahan yang memudahkan urusan kita sehari-hari. Tak percaya? Tapi ingat, ini bukan sihir.

Baiklah. Pernah dengar asid sulfurik? Asid sulfurik boleh digunakan dalam pembuatan baja seperti ammonium sulfat. Boleh juga buat sabun dan detergen. Selain itu, asid sulfurik juga digunakan dalam pembuatan cat dan racun perosak (insektisid). Macam mana asid sulfurik ni dibuat? Asid sulfurik dibuat dalam industri melalui proses sentuh. Pembuatannya melibatkan tiga peringkat.

Peringkat pertama, gas sulfur dioksida dihasilkan dengan membakar sulfur dalam udara. Kemudian, peringkat kedua, campuran gas sulfur dioksida dan udara dialirkan ke atas vanadium(V) oksida yang bertindak sebagai mangkin pada suhu 450-500°C dan di bawah tekanan satu atmosfera. Ini nantinya akan menghasilkan gas sulfur trioksida. Peringkat ketiga, gas sulfur trioksida dilarutkan dalam asid sulfurik pekat untuk membentuk oleum. Selepas itu, air ditambah kepada oleum untuk mencairkannya bagi menghasilkan asid sulfurik.

Nah...apa macam? Sekali lagi,ini bukan sihir ya. Sekarang saya nak cerita sikit pasal ammonia. Ammonia ni boleh digunakan untuk menghasilkan asid nitrik. Asid nitrik pula digunakan dalam pembuatan bahan letupan dan baja nitrat. Ammonia sangat larut dalam air, kurang tumpat daripada udara, berbau sengit dan gas tidak berwarna. Ammonia dihasilkan secara besar-besaran di kilang melalui proses Haber. Dalam proses Haber, gas hidrogen dan nitrogen dicampurkan dalam nisbah isipadu atau mol 1:3. Gas hidrogen tu diperoleh daripada gas asli metana, sejenis gas semula jadi manakala gas nitrogen tu pula daripada penyulingan berperingkat yang dilakukan ke atas udara dalam bentuk cecair. Campuran gas ini kemudian dialirkan ke atas serbuk ferum (mangkin) pada suhu 450-550°C dan dimampatkan di bawah tekanan antara 200-500 atmosfera. Gas ammonia yang diperoleh disejukkan (suhu -50°C) sehingga menjadi cecair ammonia.

Baiklah, setakat sampai di sini dulu. Nanti, saya cerita pasal benda lain pula. Apa-apa pun, ahli kimia bukan ahli sihir.

Thursday 7 June 2012

Ular sawa

Apa khabar semua?

Gambar ular sawa di atas diambil di kebun. Ketika itu, saya dan abang saya tengah bersihkan kawasan tersebut. Selama kami di situ, tak perasan pula ada ular. Dah banyak kali pinjak pun. Tapi entah kenapa, lain macam rasanya. Saya pun tanya abang saya, "ni biawak kah kamu buang disini?" Tengok punya tengok, rupanya ular sawa. Tengah hadamkan seekor ayam. Hampir 3m panjangnya. Baiklah, ada baiknya cerita sikit pasal haiwan.

Haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu vertebrata dan invertebrata. Vertebrata ialah haiwan yang bertulang belakang. Ahli sains selanjutnya mengelaskan vertebrata kepada 5 kumpulan iaitu reptilia, ikan, mamalia, burung dan amfibia. Singkatannya RIMBA. Tapi saya nak bincang pasal reptilia saja sebab ular sawa termasuk dalam kumpulan ini.

Ciri-ciri reptilia ialah:
- mempunyai kulit yang kering dan bersisik. Ini mengelakkan kehilangan air yang berlebihan daripada badan ke persekitaran. Kehilangan air ini boleh juga disebut sebagai penghidratan.
- melakukan persenyawaan dalam. Maknanya telur akan disenyawakan di dalam badan haiwan betina.
- kebanyakannya bertelur dan telurnya bercangkerang.
- berdarah sejuk
- bernafas menggunakan peparu
- tiada telinga luar

Alhamdulillah kerana Allah melindungi kami dari bahaya ular sawa yang kekenyangan. Kalau ular sawa tu tengah cari makan? Macam-macam boleh terjadi...